Tuesday, March 15, 2011

When he's not around.

Dulu, waktu tinggal di Kuantan, Abah cuma datang pada hujung minggu. Jadinya, dah terbiasa. Hari bekerja, kami akan melalui malam yang suram berdua. Menghitung detik ketibaan subuh. Termangu-mangu dalam kegelapan malam berdua di dalam bilik utama. Penuh dengan kerisauan dan ketakutan. Hanya berserah, berdoa kepada Nya mengharapkan sentiasa dipelihara kami berdua.

Kini, malam-malam yang suram sudah bertukar kepada malam penuh keriangan. Berkongsi keletah si kecil Hasha bersama. Melihat perkembangan yang sering muncul secara tiba-tiba. Abah sampai rumah di hujung senja. Sempat Ibu sediakan makan malam selepas balik kerja. Semuanya sudah berubah.

Kehidupan yang sangat jauh berbeza berbanding dahulu. Tidur malam penuh ketenangan. Pintu pagar, pintu rumah bukan lagi menjadi bebanan untuk diperiksa berkali-kali. Sebabnya, ada orang lain yang akan ambil tahu tentang itu semua. Itulah bezanya hidup dulu dan kini. Dapur yang dulunya hanya berasap menjelang hujung minggu, kini berasap setiap hari. Majalah Rasa, Majalah Wanita, buku resepi dan laman resepi maya menjadi teman untuk mencari idea memasak. Bahagianya kehidupan kini.

Keceriaan Hasha juga jauh berbeza. Dengar saja ketukan pintu dan salam dari Abah, terus bangun dapatkan Abah. Gelak ketawa mereka berderai memecah kesunyian petang. Indahnya kehidupan ini. Kami telah kerugian masa selama setahun untuk menikmati semua ini. Namun, kami akur kehendak Illahi. Memisahkan kami sedari awal perkahwinan kami. Pemisahan jarak, namun, kasih sayang dan cinta terus mekar berbunga. Semuanya ada hikmah yang tersembunyi. Membina kekuatan jiwa kami untuk menerima setiap dugaan dari Nya.

Alhamdulillah. Berkat kesabaran, kami dianugerahkan momen indah bersama.

Malam rabu dan malam jumaat setiap minggu, rasa sunyi ditinggalkan berdua kembali. Namun kesunyian itu tidak sehebat kesunyian dulu. Abah ada komitmen lain setiap malam rabu dan jumaat. Kami akur dan mengerti, abah juga perlu bersosial. Tersadai di bumi Dungun ini benar-benar menduga aktiviti sosial kami sekeluarga.

Namun, kesunyian seketika ini bakal terubat esok petang. Abah will be homed, tomorrow.

Bukankah kesunyian 2 malam jauh LEBIH BAIK berbanding kesunyian 5 malam?


Hasha dah tidur. Tinggal Ibu seorang diri terkapai-kapai menaip dalam kegelapan.

No comments:

Post a Comment